Wednesday, July 14, 2010

Antara Sabar dan Mengeluh

Bismillahhirahmanirahim.


Tajuk :Antara Sabar dan Mengeluh

Hadith :
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:”Sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada kerana terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan satu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi bencana dan kesusahan tersebut.”

Riwayat al-Hakim



Huraian
1. Tribulasi atau ujian adalah seiringan dengan perjuangan. Oleh itu ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah.

2. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur sama ada keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja.

3. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafiq yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah SWT.

4. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan ia merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana dengan mengeluh akan membuatkan semangat menjadi lemah dan terbitnya perasaan kecewa dan putus asa sedangkan Allah SWT berfirman dengan maksudnya:”Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.” (al-Insyirah:6)

Tanpa masalah atau ujian tidak akan wujud kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan dalam kehidupan.

Batas-batas Dalam Berhias

Bismillahhirahmanirahim.


Tajuk : Batas-batas Dalam Berhias

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.”


Riwayat Ibnu Mas’ud



Huraian
i) Maksud mengubah ciptaan Allah s.w.t. ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah S.W.T yang telah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.

ii) Mencabut bulu kening yang merupakan anugerah dan ciptaan Allah S.W.T.
yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baharu selepas itu agar menepati cita rasa sendiri supaya kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan yang haram di sisi Islam.

iii) Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah S.W.T. Lagipun jika yang dicabut itu hanyalah yang berselerak dan bukan termasuk bulu yang dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya. Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah S.W.T kerana Allah S.W.T itu cantik dan sukakan kecantikan.

iv) Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya sahaja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi dan menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir), memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat yang botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau spray) dan sebagainya sebagai perbezaan antara merawat/menjaga keaslian ciptaan Allah S.W.T dengan mengubah ciptaan-Nya di mana merawat/menjaga itu adalah HARUS manakala mengubahnya adalah HARAM.

v) Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah S.W.T, Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah di mana sikap ini sebenarnya merupakan sikap yang diwarisi daripada syaitan.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia



Bersyukurlah kita atas segala nikmat Kurniaan Allah kepada kita.

Thursday, July 1, 2010

Hutang2

PENANGGUHAN HUTANG

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Baginda s.a.w. bersabda:
"Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah s.w.t. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naunganNya." (Hadis riwayat Imam Tirmizi).

Kesimpulan Hadis:
1- Galakan supaya bertolak ansur dengan orang yang berhutang sama ada secara menangguhkan tempoh pembayaran hutang ataupun secara membebaskannya dari kesemua hutang atau sebahagiannya sahaja.
2- Kelebihan orang yang bertolak ansur dengan orang yang berhutang di mana dia akan mendapat ganjaran yang sangat besar dan mendapat balasan yang baik di akhirat kelak.
3- Kelebihan mempermudahkan kepentingan orang lain dan menghulurkan bantuan kepada mereka serta harus berurusan dengan cara hutang.